Filem Astro : Qadr (2014) HDTV tonton online

Astro First menerusi saluran Astro First Ekslusif memulakan tahun 2014 ini dengan mempersembahkan sebuah Filem Televisyen (FTV) berdefinisi tinggi berjudul ‘Qadr’.

Menariknya filem bercorak thriller arahan Faisal Ishak itu merupakan sebuah kisah benar yang diadaptasi daripada pengalaman yang dilalui oleh Ketua Pemerolehan Pengkomision Premium dan Media Baru Astro, Saniboey Mohd Ismail.

Menurut Faisal dia berminat dengan cetusan idea Saniboey kerana supertelefilem ini menjadikan kemalangan ngeri di jalan raya sebagai subjek utama dan ia merupakan kejadian sebenar.

“Saya juga pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama ibu dan bapa saya beberapa tahun lalu, syukur Alhamdulillah saya terselamat. Saniboey pula terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari Kelantan bersama isterinya.

“Walaupun pengalaman kami itu tidak sengeri yang dipaparkan dalam ‘Qadr’, tetapi berdasarkan pengalaman yang dilalui supertelefilem ini dapat dihasilkan.

“Qadr bukan semata-mata aksi ngeri tetapi turut berintipatikan tentang apa yang berlaku kepada kita dan reaksi kita apabila berdepan kejadian tidak diingini,” katanya pada sidang media Qadr di GSC, The Garden baru-baru ini.

Dalam pada itu Faisal turut berkongsi cabaran menghasilkan ‘Qadr’ iaitu ketika babak bas diterbalikkan.

“Memang agak sukar untuk merealisasikan adegan kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah bas ekspres kerana kami terpaksa mencari bangkai bas untuk diterbalikkan.

“Lebih mencabar lagi apabila pihak produksi terpaksa mencari rangka bas tersebut di semua tempat sehingga kami menjumpainya di Pulau Pinang dan menundanya ke sini (Kuala Lumpur).

“Kos menunda bas tersebut lebih mahal daripada harga sewa rangkanya…Tapi bila dah dapat bas, nak terbalikkan pun satu hal pula…Kami ambil masa tiga jam untuk terbalikkannya menggunakan kren,” ujarnya.
Bagaimanapun menurut Faisal dia teruja dan bersyukur kerana adegan tersebut menjadi dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

‘Qadr’ yang menjalani penggambaran di Lebuhraya Guthrie pada tahun lepas menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Tengku Hani, Zain Hamid dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang enam watak utama yang bertemu selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang mengorbankan sebilangan nyawa dan bagaimana mereka melalui hari-hari selepas insiden terebut.
Kepada anda semua, jangan lupa saksikan ‘Qadr’ yang bakal ditayangkan di saluran Astro First Ekslusif pada 16 Januari ini.

Untuk menonton, langgan Qadr di Astro First